Tuesday, 2 December 2014

PENGHAYATAN UNSUR-UNSUR SENI




PENGHAYATAN UNSUR-UNSUR SENI

1.0  Pengenalan
Istilah seni yang biasa difahami seseorang ialah sebagai sesuatu yang halus, elok, cantik dan menarik, kebiasaannya diciptakan dengan bakat, kecekapan atau kehandalan seseorang individu itu. Seni kebiasaannya dikaitkan dengan keindahan dan kecantikan namun ada wujud juga seni yang tidak memberikan rasa indah kepada pengamatnya. Di sinilah terletaknya daya tarikan seni itu sendiri dalam keupayaan dan kebolehannya untuk menimbulkan pelbagai rasa, tafsiran, fikiran dan persoalan.
      Panduan nilai dalam aplikasi Pendidikan Seni yang berdasarkan keindahan merupakan sebahagian dari ciptaan Tuhan. Kesedaran terhadap kekuasaan Tuhan yang menciptakan segala isi dunia dengan keindahan dapat dihayati dan diselami dengan pelbagai cara. Pemilihan subjek iaitu alam atau landskap yang indah  untuk dikongsi bersama dalam lukisan menunjukkan sifat Tuhan yang berkuasa dan tidak dapat ditandingi manusia. Nilai ini haruslah diserapkan dalam diri pelajar supaya pembelajarannya mempunyai landasan yang betul. Setiap keindahan merupakan seni yang baik.
      Aplikasi unsur seni dijalankan dengan percubaan dan interpretasi terhadap bahan-bahan seni yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah, menggambarkan kefahaman, tujuan, idea, konsep dan memperkembangkan gaya serta pernyataan falsafah dan kepercayaan.
      Plato merupakan ahli falsafah pertama yang berbicara tentang seni. Menurutnya, seni ialah aktiviti berkaitan peniruan (mimesis). Peniruan berlaku hasil pemerhatian manusia terhadap alam ini hingga menimbulkan satu konsep tentang idea yang merupakan konsep asas dalam menerangkan sesuatu. Daripada idea itu berkembanglah seni dengan pemaparan usaha menghasilkan keindahan yang idealistik dan bersifat transenden. Baginya lagi, keindahan dan kecantikan terunggul tidak wujud di dunia ini, tetapi boleh dipelajari dan ditiru daripada alam dalam usaha menghasilkan keindahan yang paling sempurna. Berkembang daripada pendapat inilah tokoh-tokoh kesenian di Barat mengorak langkah dalam membicarakan kesenian dan seterusnya mencipta karya seni.
      Dalam menghasilkankan karya-karya seni penghayatan unsur-unsur seni perlu ada. Hal ini bagi memastikan karya yang dihasilkan nampak menarik dan istimewa.

2.0  Penghayatan unsur seni
Unsur-unsur seni merupakan elemen asas dalam menghasilkan sesebuah karya seni. Unsur-unsur seni juga penting untuk dikenali dan difahami oleh setiap orang yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini. Oleh kerana setiap karya seni yang terdapat di dunia ini biasanya mempunyai lebih daripada satu unsur seni maka semua unsur-unsur seni ini mesti difahami dan di kuasai dengan lebih mendalam oleh setiap orang yang berkaitan dengan bidang seni ini.
      Pada masa kini bidang seni berkembang dengan meluas sekali. Oleh yang demikian, munculnya pelbagai karya, teknologi baru, produk dan sebagainya yang berkaitan seni dihasilkan menguna dan menggabungkan unsur-unsur seni.
      Dalam seni reka terdapat enam unsur yang asas. Antaranya ialah garisan, warna, rupa, bentuk, jalinan dan ruang. Unsur-unsur ini merupakan asas di mana semua reka bentuk dicipta. Contohnya seperti membina rumah, bahan-bahan asas yang digunakan ialah batu bata, simen, kayu dan pasir. Tetapi bagi seni tampak pula, asas yang diguna pakai untuk menghasikan sesebuah reka bentuk ataupun karya ialah unsur-unsur seni. Walaupun sesebuah hasil karya atau hasil kerja seni tampak itu kelihatan mudah namun hasil tersebut mesti mengandungi sekurang-kurangnya dua unsur seni. Misalnya, sekeping kertas yang ditulis dengan nama seseorang, disitu kita akan perolehi dua unsur seni iaitu garisan dan ruang.

2.1  Garisan
Garisan wujud dengan semulajadi ataupun dengan buatan manusia. Garisan-garisan yang wujud semulajadi terdapat pada kulit timun, kulit kerang, badan harimau, permukaan daun dan sarang labah-labah. Garisan yang terdapat di alam semulajadi biasanya digunakan oleh manusia sebagai ilham dalam menghasilkan gubahan atau corak sesuatu benda. Dari segi seni tampak garisan merupakan tanda yang dihasilkan dilakukan melalui pergerakan, gesekan atau goresan alat lukis di atas sesuatu permukaan yang rata. Garisan dapat digunakan untuk melukis dan menulis. Chang Hoo Woon (1997) menjelaskan “Berbagai-bagai jenis alatan boleh digunakan untuk menghasilkan garisan seperti pen, kapur, pastel, pisau ukir, alatan semburan dan berus. Selain daripada ituteknik-teknik kraf tangan seperti kolaj dan cetakan juga boleh menghasilkan lukisan”.
      Unsur yang paling asas dalam seni tampak ialah garisan. Unsur garisan hampir kesemuanya berkait dengan seni tampak.
Chang Hoo Woon (1997) membahaskan:
Karya-karya seni seperti catan menggunakan garisan sebagai kerja peringkat awal. Subjek gubahan dilukis terlebih dahulu dengan pensel aiaitu salah satu media lukisan sebelum dilengkapakan dengan warna. Begitu juga halnya dengan seni arca. Sebelum sesebuah arca dibentuk, rupa bentuknya dilukiskan di atas kertas terlebih dahulu. Lakaran awal membolehkan sesuatu karya itu dihasilakn dengan lebih terancang dan kemas.
Di samping itu, garisan tidak semestinye lurus tetapi ia boleh terdiri daripada garis yang melengkung, bulat, bersudut dan beralun. Walhal, garisan juga terdapat dengan berwarna-warni selain dari berwarna hitam sahaja. Panjang dan pendek juga adalah di bolehkan dalam sesuatu garisan itu.
Selain itu, garisan mempunyai pelbagai jenis yang boleh digunakan untuk menggambarkan sesuatu bende. Sesebuah lukisan yang dihasilkan terdiri daripada gabungan beberapa jenis garisan yang berbeza. Antara jenis-jenis garisan yang terdapat dalam seni visual ialah garisan tebal, berbiji, berbulu, nipis, bertitik-titik, bergerigi, beralun, berlingkar, putus-putus, beranyam, berduri dan bergetar. 
 
Pemilihan garisan dalam menghasilkan sesuatu lukisan itu bergantung kepada sifat fizikal subjek atau bende yang hendak dihasilkan itu. Jika ingin menghsilkan lukisan permandangan di kawasan air sungai maka garisan-garisan yang kesat dan bergetar digunakan untuk menggambarkan air dan batas-batas di sekitar kawasan itu. Sekiranya pula hendak menghasilkan subjek yang bersaiz besar seperti seekor gajah, garisan-garisan yang tebal dan kasar perlu digunakan untuk menonjolkan lagi sifat fizikal gajah tersebut. Buku-buku bergambar ataupun komik banyak memaparkan contoh-contoh lukisan yang mengunakan unsur seni garisan didalamnya. Contonya seperti komik Doremon dan Naruto.
 
                 2.2 Warna
Warna merupakan perkara yang asas yang sering kita lihat setiap hari pada alam semulajadi. Warna memainkan peranan yang sangat besar didalam kehidupan kita dari segi personaliti, kebudayaan dan psikologi. Personaliti seseorang itu dapat di tonjolkan melalui warna kegemaran mereka. Orang yang sering memakai pakaian atau bende-bende yang berwarna merah jambu sering dikaitkan dengan bersifat lemah-lembut dan penyayang. Walaubagaimanapun, warna juga mempunyai peranan dalam kebudayaan. Sebagai contoh, masyarakat cina mempercayai bahawa warna merah melambangkan kemeriahan, kemewahan dan kemegahan kaum mereka. Manakala dari sudut psikologi pula, warna dapat mempengaruhi emosi kita. Apabila kita berada ditempat yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau, kita akan berasa nyaman, tenang dan segar.
Chang Hoo Woon (1997) membahaskan:
Dalam seni tampak, warna menjadikan komunikasi tampak lebih berkesan. Selain daripada menjadikan sesuatu hasil gubahan itu lebih menarik, ia juga digunakan oleh pengkaryawan untuk tujuan ekspresif. Tujuan utama teori warna dipelajar adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar memahami ciri-ciri warna dan tahu mengakplikasikan pengetahuan ini dalam aktiviti-aktiviti seni tampak.
Warna terhasil daripada cahaya. Oleh itu tanpa cahaya warna tidak akan wujud. Warna dihasilkan apabila cahaya diterbalikkan dari permukaan sesuatu objek. Kita boleh melihat gelombang-gelombang cahaya yang diterbalikkan dari objek-objek di sekeliling kita. Setiap warna mempunyai jarak gelombang yang berbeza-beza.
 
Roda warna digunakan dalam menjadikan panduan semasa melakukan kajian mengenai sifat pertalian di antara warna-warna. Kita boleh menghasilkan pelbagai jenis warna dengan hanya mengunakan campuran tiga hue warna. Roda warna yang pertama dicipta oleh Sir Isaac Newton. Beliau menyusun ketujuh-tujuh warna spektrum di dalam sebuah bulatan. Pada awal kurun ke-18, warna-warna utama telah ditemui oleh seorang rakyat Perancis yang dikenali sebagai Teori Merah, Kuning dan Biru.
Dalam seni visual terdapat pelbagai jenis warna. Jenis warna yang paling utama digelarkan sebagai warna asas ataupun warna prime. Warna ini terdiri daripada warna merah, kuning dan biru. Campuran daripada warna-warna ini dapat menghasilkan jenis-jenis warna yang lain seperti warna sekunder, warna tertier, warna penggenap dan warna harmoni. Oleh itu, dapat dilihat di sini campuran-campuran warna asas ini dapat menghasilkan berpuluh-puluh warna yang lain. Walaubagaimanapun, warna asas atau utama ini tidak dapat dihasilakn menggunakan campuran warna-warna yang lain.

                2.3 Jalinan
Jalinan ialah sifat fizikal yang terdapat pada permukaan bahan dan objek. Semua objek mempunyai jalainan pada permukaannya. Permukaan buah epal, cakera padat dan botol mempunyai sifat jalinan yang licin. Berlainan pula dengan kulit buah rambutan, buah durian, kulit kerang dan permukaan batang pokok yang bersifat kasar dan kesat. Manankala bagi kain sutera pula bersifat halus dan lembut. Nilai permukaan pada objek-objek boleh dialami dengan cara melihat, menyentuh dan merasa. 

 
Terdapat dua jenis garisan dalam seni iaitu jalinan tampak dan jalinan sentuh. Jalinan tampak hanya dapat dilihat sahaja dan tidak dapat dirasai oleh tangan ataupun sebarang benda. Hal ini kerana jalinan tersebut hanya bersifat ilusi namun tidak dapat dirasai. Jalinan ini kebiasaannya terdapat pada lukisan, catan, kulit buah tembikar, badan rama-rama dan sebagainya. Jalinan yang terdapat pada buah tembikar dapat dilihat oleh mata kasar namun apabila disentuh jalinan tersebut tidak dapat dirasai. Manakala jalinan sentuh pula dapat dilihat oleh mata sertai disentuh permukaannya oleh anggota badan kita. Antara contohnya ialah pohon kayu, kerang, anyaman ketupat, ukiran pada permukaan kayu dan tembikar. Corak yang ditekankan pada permukaan permukaan tembikar seperti Labu Sayong menghasilkan kesan jalinan sentuh. Jalinannya dapat dilihat dan dirasai oleh deria sentuh.

                2.4 Rupa
Rupa ialah sesuatu gambaran atau imejan ynag bersifat rata pada sesuatu permukaan. Permukaannya adalah kosong dan rupa bersifat dua dimensi. Rupa boleh dihasilkan melalui penggunaan garisan dan warna. Logo, corak dan muka taip adalah salah satu contoh-contoh seni grafik yang terdiri daripada unsur rupa. Rupa bagi logo dan corak dapat dihasilkan dengan menggunakan sebarang motif dan diubah suaikan menjadi rupa yang mudah untuk dijadikan lambang ataupun corak. Rupa muka taip pula gaya huruf yang digunakan di dalam kerja grafik seperti tulisan Roman, Arial, Gothic, Sans Serif Shaded dan Block.
 
Rupa dapat dibahagikan kepada dua jenis umum, iaitu rupa organik dan rupa geometri. Rupa organik kebiasaannya boleh dilihat pada alam semula jadi ini seperti flora dan fauna. Rupa ini bersifat bebas dan tidak terikat dengan sempadan-sempadan yang tetap taupun bersudut. Oleh kerana rupa ini bersifat semula jadi maka garis-garisan tepian rupa ini kebiasaannya melengkung, bengkang-bengkok serta berlekuk-lekuk. Sebagai contoh, logo Bank Simpanan Nasional dan Bank Negara Malaysia. Rupa geometri memainkan peranan yang besar di dalam reka bentuk industri dan reka bentuk seni bina sesebuah bangunan serta lain-lain. Kebanyakkan reka bentuk bangunan serata barangan kegunaan harian adalah berasaskan kepada rupa geometri. Mesin basuh dan televisyen misalnya, mengunakan rupa segi empat dalam penghasilannya. Rupa ini yang dikatakan mempunyai sempadan-sempadan tetap.
 
Rupa juga terdapat dalam rupa positif dan negatif. Sekeping kertas itu mempunyai ruang. Apabila kita melukiskan sesuatu rupa di atas kertas lukisan, rupa itu wujud di dalam satu ruang. Sekiranya rupa itu dihitam ataupun diwarnakan maka ia dikenali sebagai rupa positif. Sebaliknya jika kawasan ruang sekeliling objek itu pula dihitam atau diwarnakan, ia dikenali sebagai rupa negatif.

3.0  Penutup
Jelaslah dalam seni ini terdapat pelbagai unsur-unsur seni. Seni begitu luas skop pengertiannya. Oleh itu, penghayatan yang baik diperlukan dalam diri setiap orang bagi mempelajari pendidikan seni visual ini.
      Kefahaman terhadap sesuatu karya seni boleh menjadi satu asas untuk mengembangkan pemikiran dan kreativiti manusia. Kefahaman terhadap sesuatu karya seni akan membantu seseorang individu itu untuk menjana dan mencipta perkembangan ilmu seni itu ke arah yang lebih berkesan. Apatah lagi jika karya seni itu dapat difahami dengan lebih mendalam. Perkembangan yang berkaitan dengan seni semasa zaman kanak-kanak juga mempengaruhi daya intelektual individu itu sendiri ketika remaja dan dewasa.
      Joseph Chiari (1997) menjelaskan “Pengetahuan dalam pendidikan seni visual boleh membantu seseorang itu dalam mengenali suasana persekitarannya”. Hakikat ini dapat menjelaskan bahawa pendidikan dan seni visual menjadi begitu penting kepada kanak-kanak dan remaja. Hal ini menjadi semakin subur dan bertambah matang apabila remaja itu meningkat ke usia dewasa.

 BIBLIOGRAFI
Chang, H.W. (1997). Teori seni tampak. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zakaria Ali. (1989). Seni dan seniman esei-esei seni halus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mohd Sabran Md Sani. (2006, Dis 30). Bukan sekadar hiasan. Harian Metro, 22.
Rathus, L.F. (2011). Understanding art (6th edition). Nwe Jersey: Wadsworth Thomson
learning.
Smith, R. (2003). The artist’s handbook (3rd edition). Washington: A Dorling Kindersley
Book.



1 comment:

  1. Salam sejahtera, saya Azlina, editor untuk buku teks Pendidikan Seni Visual yang diterbitkan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia ingin memohon kebenaran menggunakan gambar/foto/karya yang terdapat dalam blog cik/encik/tuan/puan. Sila hubungi saya di emel yusazlina11@gmail.com berikut untuk maklumat lanjut. Terima kasih

    ReplyDelete